Saturday, April 23, 2011

Muzik dan Kehidupan..by Jeffery Adam Sugarpack




Berbicara mengenai muzik dan kehidupan. Kita tahu bahawa sudah menjadi fitrah semulajadi manusia untuk sentiasa mendambakan hiburan sebagai penenang jiwa dan sebagai instrumen untuk meluahkan perasaan. Namun, fokus saya kali ini ialah tentang bermain muzik. Tetapi sebaiknya saya coretkan dulu sedikit kisah saya.

Semasa di universiti dulu, pada awalnya saya seorang mahasiswa yang tidak gemar bersosial. Disaat semua teman sebilik sibuk dengan biro-biro di kolej,aktiviti teater dan sukan interkolej, saya lebih senang duduk di bilik. Bagi saya masa yang ada adalah lebih baik digunakan untuk mengulangkaji pelajaran tetapi selepas beberapa lama saya dapati bahawa kehidupan tanpa pergaulan dengan teman-teman dan kegiatan sosial adalah menjemukan malah saya dapati keputusan peperiksaan juga kurang memuaskan. Saya rasa terpinggir. Saya melihat ke dalam diri,saya tiada sebarang keistimewaan dalam diri cuma saya ada sedikit bakat dalam bidang muzik, saya cuba–cuba merisik tentang ujibakat band universiti dan akhirnya saya terpilih.Sejak itu,saya secara langsung terlibat aktif dengan band universiti dan terlibat dengan persembahan-persembahan muzik untuk majlis-majlis universiti. Satu perkara yang saya dapat lihat pada diri saya dengan nyata ialah pengurusan masa yang lebih teratur dan sekaligus penumpuan terhadap pembelajaran meningkat dan menghasilkan keputusan peperiksaan yang lebih cemerlang. Terfikir, aktiviti-aktiviti di universiti rupanya membuatkan kita, sebagai mahasiswa menjadi lebih yakin dengan diri sendiri dan memperbaiki kemahiran berkomunikasi dan berorganisasi. Itu yang menarik tentang kehidupan saya di universiti.

Saya pernah menjadi jurulatih kelab muzik disebuah kolej penginapan di Universiti Putra Malaysia selama beberapa semester dan persoalan penting yang saya sebenarnya ingin kongsikan dengan para pembaca sekalian, sering ditanyakan kepada saya, adalah adakah bermain muzik itu dibenarkan dalam Islam? Dalam hal ini, saya mengambilkira pandangan daripada Al marhum Syaikh Mahmud Syaltut, bekas rektor al Azhar dalam koleksi Fatwanya, Al-Fatawa (Darul syuruq, Cairo. 1960 ms 355-359) yang menjelaskan dengan tegas empat perkara tentang muzik:

Pertama: Mendengar dan bermain alat muzik adalah sama (hukumnya) dengan merasa makanan yang lazat, menghidu bau yang harum, melihat pemandangan yang cantik atau mencapai pengetahuan yang tidak diketahui adalah semuanya keseronokan naluri yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia. Semuanya memberi kesan menenangkan fikiran apabila kepenatan jasmani dan memberi kesan dalam memulihkan semula tenaga. (Syaikh Syaltut menggunakan hujah Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, Jilid 2, ms 208.)

Kedua: Al-Qur'an yang mendasari segala peraturan dan perundangan di atas dasar kesempurnaan dalam Tujuan sentiasa menjaga supaya tidak berlaku keterlaluan dipihak yang tidak menggunakan muzik dan pihak yang menggunakan muzik secara berlebihan. .

Ketiga: Fuqaha' terdahulu membenarkan muzik apabila mempunyai konteks yang sesuai seperti muzik iringan ke medan perang, haji, perkahwinan dan perayaan ‘Id. Mengikut fuqaha' Hanafi muzik yang dilarang ialah dengan bersyarat jika ia bercampur dengan sebutan alkohol, gadis penyanyi, fusuq, perzinaan dan keberhalaan. Syaltut berpendapat larangan terhadap muzik adalah berdasarkan kepada konteks dan iringannya dengan yang lain dan bukanlah suatu reaksi terhadap muzik itu sendiri.

Keempat: Syaltut memberi amaran bahawa sesiapa yang berani melarang sesuatu perkara yang tidak jelas dilarang oleh Allah. Dalilnya ialah firman Allah dalam surah al A'raf: 32-33. siapakah yang berani mengharamkan perhiasan daripada Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan rezeki yang baik-baik?



Hukum mengenai muzik, pemuzik dan alat muzik mengikut Hujjatul Islam Al-Ghazali (Ihya' Ulumidin, Jilid 2, ms 283-301) menjelaskan ada tiga komponen penting yang mempengaruhi hukum muzik yang mungkin berubah dari masa ke semasa: zaman, makan dan ikhwan. 'Zaman' merujuk kepada masa, apakah muzik itu melalaikan daripada jihad dan ibadah. 'Makan' merujuk kepada suasana, situasi, occasion atau upacara di mana muzik itu dipersembahkan. 'Ikhwan': merujuk kepada aktiviti muzik itu; jika dengan muzik itu boleh menyebabkan mereka terdedah kepada manusia yang jahat atau membawa kepada kejatuhan moral.

Berbalik kepada soalan asal: apakah alat muzik yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dalam Islam? Al Ghazali menjelaskan (Ihya' Ulumuddin, Jilid 2, pg 271-272): “...tidak ada keterangan yang jelas dari sunnah yang melarang alat-alat muzik bahkan setengah alat muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang, ia tidak lebih daripada seperti kemerduan suara burung. Bermain muzik dilarang jika ada hubungan atau dikaitkan dengan kumpulan peminum arak, homoseks dan lain-lain yang dilarang.”

(Rencana saya ini pernah disiarkan di Majalah Universiti Putra Malaysia dan akhbar Mahasiswa pada tahun 2007)

Jika kita lihat dalam sejarah Islam itu sendiri, terdapat tokoh-tokoh Islam yang terlibat secara langsung dalam pembangunan muzik itu sendiri antaranya Ibnu Sina dan Al-Kindi. Kedua-duanya lebih dilihat sebagai tokoh falsafah dan perubatan tetapi sekiranya kita mengikuti perjalanan hidup tokoh-tokoh ini, kedua-duanya ada membuat kajian mengenai muzik pada zaman mereka malahan Al-Kindi, melalui bukunya Al-Kitab Al-Muziqa al-Kabir, telah diiktiraf sebagai tokoh muzik teragung di zamannya. Malahan jika kita kaji sebenarnya gitar,bass, mandolin dan banjo yang dimainkan oleh para pemuzik kini juga adalah berasal dari alat muzik arab iaitu Oudh (alat muzik bertali pertama seperti banjo) dan gambus.

Kesimpulannya,muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat . Mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang jelik dan dihubungkan dengan kumpulan manusia yang jahat akhlaknya adalah ditegah. Harus diingat bahawa sekiranya ia menonjolkan ciri-ciri yang menyalahi hukum syara’, muzik itu tetap menjadi haram. Isu ini akhirnya membawa kepada penglibatan dan kesan muzik itu ke atas budaya masyarakat. Saya suka meminjam kata-kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mengenai generasi muda zamannya, “Anak-anak muda yang menyanyi ikut suka hati, bermain muzik ikut suka hati, berpakaian ikut suka hati akan menjadi terdedah kepada unsur-unsur yang tidak baik dan dengan sendirinya menghasilkan angkatan muda yang tidak berdisiplin”. Jadi, sebagai pembaca yang mempunyai daya pemikiran yang matang, fikir-fikirkanlah kata-kata ini…



.

No comments: