Saturday, June 11, 2011

BAB I - OTOBIOGRAFI JOE CHELLIAH (MALAY)


Bab Satu – Asal usul & Latar Belakang


Masa dan rentak kehidupan saya bermula dengan susur-galur keturunan Nadaar kerana bagi saya mengetahui tentang latarbelakang keluarga adalah satu perkara yang amat penting bagi individu. Saya percaya yang latar belakang kaum seseorang itu tiada kurang atau lebihnya kerana bagi saya semuanya sama sahaja tidak kiralah jika anda berketurunan raja atau dari kedudukan yang lebih rendah dalam masyarakat. Tiada siapa pun yang boleh memilih siapa keluarga mereka. Apa yang penting adalah siapa diri anda sebenarnya. Dari mana asal kita dan dengan siapa kita bersaudara adalah kehendak Tuhan, jadi kita tidak perlu terlalu berbangga atau berasa malu dengan asal-usul sendiri. Dengan kesedaran ini, saya berusaha mengamalkan sikap “buta warna” selagi boleh.

Berdasarkan kepada pengkelasan etnik saya berbangsa Tamil Nadaar Selatan India manakala daripada segi undang-undangnya saya adalah rakyat Malaysia. Saya dinamakan Joseph Sountharaj oleh ibu dan bapa saya. Pada usia awal remaja, saya menggunakan nama Joseph S.Chelliah, menggunakan nama bapa seolah-olah ia nama keluarga persis tradisi Eropah. Nama ini kemudiannya dipendekkan menjadi Joe Chelliah untuk menyesuaikannya dengan penglibatan saya di dalam muzik. Nama inilah yang melekat sehingga sekarang dan saya dikenali dengan nama ini terutamanya di dalam industri muzik dan dalam kalangan para peminat pop yeh yeh. Pada tahun 1970, setelah memeluk Islam saya juga mula menggunakan nama Johami Abdullah. Tetapi saya lebih dikenali sebagai Joe Chelliah mungkin kerana kaitan saya dengan muzik pop.

Tiada siapa yang akan menulis tentang kita kecualilah jika anda atau saya tokoh hebat seperti Mahatma Gandhi atau Sir Winston Churchill. Jadi, apa yang saya lakukan ini adalah satu usaha kecil untuk generasi Chelliah yang akan datang dan juga untuk mereka yang berminat dengan sejarah masa memandangkan terdapat bahagian-bahagian autobiografi ini mengimbau kehidupan di estet getah dan juga kehidupan lampau di sekolah yang ramai sudah lupakan. Lagi pula, setakat ini saya telah melalui kehidupan yang selesa dan berwarna-warni dan disebabkan itu bersyukur kepada Allah s.w.t. atas anugerah yang amat besar ini. Cara terbaik untuk saya menunjukkan penghargaan kepadaNYA ialah dengan merakamkan kehidupan saya yang indah ini untuk generasi yang akan datang. Dalam buku ini, saya akan menggunakan Tuhan dan Allah silih berganti untuk pemahaman pembaca-pembaca yang bukan Islam. Ada sesetengah golongan orang Islam tidak berapa setuju dengan praktis ini memandangkan Allah mempunyai kaitan semantik yang berbeza kepada orang Islam berbanding Tuhan dan tuhan-tuhan agama-agama lain, yang mana, sebagai implikasinya apabila ada Tuhan, mungkin juga ada dewi, “godfather” (bapa angkat) atau “godson” (anak angkat). Saya sememangnya datang daripada sebuah keluarga yang takutkan Tuhan. Hari ini, pada usia 65 tahun, saya merupakan seorang yang bahagia bersama-sama tiga orang adik beradik yang masih hidup aktif – kakak sulung saya Mabel Chandra berusia 80 tahun pada tahun ini.


Keturunan nadaar

Banyak yang telah ditulis mengenai sifat semulajadi mereka yang berketurunan Naadar, sebuah kumpulan kecil Dravidia dari India berbahasa Tamil yang kebanyakannya berasal dari sebuah daerah besar di Tamilnadu dengan nama Tirunelvelli. Penduduk asal India adalah orang-orang Dravidia dan budaya mereka telah berkembang menjadi satu cara hidup yang canggih. Menurut Wikipedia “Naadar juga dirujuk sebagai Kshatriya Naadar, Nadan, Nataar, Gramani dan Shanar. Ia merupakan salah satu kasta terkemuka di Tamil Nadu yang terletak di Selatan India. Kshatriya merupakan kelas pahlawan di dalam sistem kasta Aryan awal. Istilah Nadaar, dalam bahasa Tamil secara harfiah (literal) bermaksud “yang memerintah negara”. Keturunan Nadaar ini juga biasa digelar sebagai Annachi (secara dasarnya bermaksud abang) di Tamil Nadu.
Tirunelvelli yang berusia lebih kurang 2000 tahun penuh dengan sejarah yang berwarna-warni dan kaya dengan tradisi. Daerah ini terkenal dengan jelapang padinya. Nama ‘Tiru-Nel-Veli’ diambil bersempena sebuah cerita dongeng Hindu. Di dalam cerita tersebut Dewa Shiva melindungi padi (nel) dengan mewujudkan sebuah pagar (veli). Bandar kembar Tirunelvelli adalah Bandar Palayankottai, yang terkenal dengan institusi pendidikannya dan seringkali digelar sebagai Oxford India Selatan. Palayankottai juga dikenali kerana sebuah ‘Penjara Pusat’, tempat kurungan ramai pejuang kebebasan yang berjuang untuk keamanan di India. Daerah Tirunelvelli secara turun temurunnya terkenal dengan halwa kelapa sawit dan kraftangan yang diperbuat daripada daun kelapa sawit. Orang Nadaar juga memiliki reputasi yang baik disebabkan ketekunan dan cara mereka bekerja yang hanya boleh ditandingi oleh rasa salah dan betul mereka yang sangat kuat.

Karakter semulajadi orang-orang Nadaar inilah yang menyebabkan mereka selalu dilabelkan sebagai keturunan Dravidia yang sombong dan degil. Mungkin semangat Kshatriya (kasta pahlawan) hidup dalam diri mereka memandangkan keturunan Nadaar ini juga selalu terlibat dalam persengketaan biarpun dalam lingkungan keluarga mereka sendiri yang disebabkan perkara remeh-temeh. Kebanyakan filem moden Tamil menggambarkan perkara ini dengan baik sekali. Terdapat satu pepatah Tamil yang dengan jelas menggambarkan sifat semulajadi keturunan Nadaar yang degil ini. “Aku yakin arnab yang telah ditangkap mempunyai tiga kaki.” Plot siri drama TV Tamil yang amat popular yang diterbitkan dan disiarkan di TV Malaysia pada 2004 bertajuk Annamalai menceritakan tentang sebuah keluarga Nadaar dan siri ini menyorot ciri-ciri positif dan juga negatf komuniti ini. Siri ini diterbitkan oleh Radaan Productions dan tidak ramai yang sedar bahawa Radaan apabila dibaca terbalik berbunyi Nadaar. Orang-orang Nadaar muncul sebagai sebuah komuniti yang berjaya di India Selatan. Orang-orang Nadaar yang beragama Hindu dan juga Kristian adalah antara sub-kumpulan Tamil yang agak besar di Malaysia. Memandangkan saya berasal dari kelompok Nadaar Kristian saya lebih arif tentang Nadaar Kristian Aglikan di Malaysia. Kristian Aglikan adalah sebahagian daripada Kristian Protestan dan memihak kepada Church of England.

Beberapa orang yang berketurunan Nadaar Kristian berpendidikan Inggeris telah menjadi tokoh yang dikenali di Malaysia. J.J Raj (Senior dan Junior) cemerlang sebagai pegawai polis dan berjaya memegang jawatan tertinggi di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia dalam tahun-tahun 1950-an dan 1960-an. Saya mempunyai seorang bapa saudara yang mempunyai nama keluarga Light yang memegang jawatan tinggi di dalam Keretapi Tanah Melayu. P.P.D Samuel, seorang usahawan yang berjaya dan perintis dalam pendidikan swasta di Malaysia pada 1960-an, juga seorang lagi bapa saudara saya. Beliau merupakan ketua pegawai eksekutif dan pengasas The Federal Institute of Technology, perintis institusi pendidikan persendirian di Malaysia. Bapa beliau, Rev. David Samuel, merupakan seorang paderi Anglikan yang terkenal dalam tahun 1960-an. Seorang lagi saudara saya yang menjawat jawatan tinggi dalam Polis Diraja Malaysia dan menjadi Ketua Pegawai Polis (CPO) untuk beberapa buah negeri yang kini telah bersara dari Bukit Aman (ibupejabat Polis Diraja Malaysia di KL) pada 2004 adalah Timbalan Suruhanjaya Polis (DCP) Dato’ Arthur Edmonds. Seorang perunding pakar bedah terkenal yang juga merupakan ketua jabatan di Hospital Besar Seremban yang baru sahaja bersara, Dr Davaraj Balasingh K.M.N juga berketurunan Nadaar. Manakala di dalam bidang muzik nama-nama seperti Edwin Rajamoney, Dennis Jesudason dan Gerald Samuel menjadi sebutan dalam era 1950-an dan 1960-an. Saya juga mungkin boleh disenaraikan sebagai salah seorang etnik Nadaar Malaysia yang terlibat dalam bidang muzik bermula pada tahun 1970-an.

Orang-orang Nadaar ini pada asalnya beragama Hindu sebelum ada di antara mereka menganut Kristian. Pada tahun 1680, jemaah Nadaar yang pertama dimulakan di Vaddakankulam dan sebuah gereja telah dibina pada tahun 1685. Pada tahun 1701 sebuah misi tetap telah ditubuhkan di sana. Sesetengah orang Nadaar memeluk agama Kristian secara sukarela tetapi ada yang melakukannya kerana tidak sukakan kepercayaan-kepercayaan tempatan. Hampir kesemua orang Tamil yang menganut agama Kristian Anglikan adalah orang-orang Nadaar dan kira-kira 40% keturunan Nadaar di Tamil Nadu adalah beragama Kristian. Kawasan uskop Tirunelvelli bermula dengan hanya 40 orang anggota di Palayamkottai. Kini ia dianggap sebagai kawasan uskop Anglikan terbesar di Asia. Tirunelvelli dinaik taraf sebagai sebuah Kawasan uskop pada tahun 1896. Di daerah Tirunelvelli sahaja terdapat banyak gereja besar Anglikan dan ia juga mempunyai sebuah bandar yang dinamakan Nazareth, di mana terletaknya The Church of South India Diocese. Abang ipar saya, David berasal dari Nazareth ini.

Ada satu penjelasan yang boleh dipercayai berkaitan perkara ini. Menurut mendiang abang ipar saya David Koilpillay, mubaligh-mubaligh Anglikan ketika zaman kolonial India beria-ria mahu mencari sebuah tempat atau komuniti yang masih tidak terkesan dengan usaha para mubaligh Katholik Belanda dan Portugis. Apabila para pentadbir berbangsa Inggeris di sana mengatakan yang keturunan Nadaar beragama Hindu merupakan pertaruhan yang baik, para mubaligh ini segera menuju ke situ dengan penuh bersemangat dan mereka berjaya di sana. Oleh yang demikian, pada hari ini, tulang belakang uskop Anglikan di Malaysia juga berasal daripada komuniti Nadaar yang sama.

Salah silah Keluarga

Ibu bapa saya beragama Kristian Anglikan yang berasal daripada komuniti Nadaar Selatan India ini. Nama ibu sebelum berkahwin ialah Lily Kamalabai Vincent dan nama bapa, Samuel Chelliah Nadaar. Atas sebab-sebab yang hanya beliau sahaja yang tahu, nama bapa di dalam pasport ialah Samuel Chelliah, tanpa nama Nadaar. Mungkin beliau mahu memendekkan nama dengan tidak menyertakan Nadaar atau mungkin beliau mahu dikenali sebagai orang Tamil Jaffna ketika tahun-tahun awal di Tanah Melayu memandangkan Chelliah merupakan satu nama keluarga yang biasa dalam kalangan orang-orang Tamil Jaffna. Namun kemungkinan besar beliau hanya mahu memendekkan namanya kerana sepanjang hidupnya beliau bekerja di estet yang mana menjadi seorang Tamil Jaffna tidak mempunya apa-apa erti. Orang-orang Tamil Jaffna di Tanah Melayu berpendidikan Inggeris namun mereka lebih memonopoli jawatan-jawatan pengurus kecil dalam perkhidmatan awam Tanah Melayu, Keretapi Tanah Melayu, di pelabuhan-pelabuhan dan lembaga elektrik. Mereka kurang berminat bekerja di estet-estet getah. Izinkan saya menulis satu pemerhatian analitikal bersifat peribadi berikut, namun pemerhatian ini boleh jadi terlalu ringkas.

Orang British pada zaman kolonial terkenal di seluruh dunia dengan kelicikan mereka dan telah memulakan satu strategi “pecah dan perintah” di hampir kesemua koloni mereka. Di Tanah Melayu British hanya mahu menyempurnakan tugas memerintah dalam cara yang paling berkesan tanpa ada sentimen perkauman dan tanpa mementingkan mana-mana kaum. Orang-orang British mendapati bahawa Tanah Melayu mempunyai potensi yang baik untuk tanaman getah, satu tumbuhan semulajadi di Amazon. Mereka juga mendapati yang orang-orang Melayu tidak berapa berminat untuk melakukan kerja-kerja berat membersihkan hutan dan menanam semula dengan pokok-pokok getah. Disebabkan hal ini, Melayu senang-senang sahaja dilabel sebagai pemalas oleh pihak British. Harry Miller dalam bukunya The Communist Menace in Malaya, menulis mengenai bangsa Melayu,

“The Malays are open, smiling, easygoing people, who are peace-loving. Despite the changing scene and the problems and dangers around him the Malay outside the towns still lives from day to day. If he has enough money and rice to feed himself and his family for the next day he is content, and he relaxes in the pleasant company
of his fellow-men under the fruit-trees in the tranquil kampongs.”

Oleh yang demikian, British sewenang-wenangnya membawa masuk pekerja-pekerja yang “lebih rela”, iaitu buruh-buruh kontrak dari India. Orang-orang Tamil ini kebanyakannya ialah pekerja-pekerja kasar yang bekerja di estet-estet getah, pelabuhan, lembaga utiliti awam dan keretapi. Golongan seperti bapa saya terkecuali hanya disebabkan beliau berpendidikan Inggeris seperti orang-orang Malayelee dari Kerala dan Tamil Ceylon dari Sri Lanka yang mengisi jawatan-jawatan penyeliaan dan pengurus-pengurus kecil. Mereka menjadi jambatan kepada jurang komunikasi di antara para buruh dan pengurus berbangsa British memandangkan mereka fasih berbahasa Inggeris dan juga Tamil. Orang Sikh dari India Utara dan Pakistan serta orang Melayu menjadi anggota polis yang mengawasi orang-orang India di Tanah Melayu manakala orang-orang Gurkha dari Nepal pula menjadi askar yang setia dalam pasukan Tentera British, yang mengawasi semua orang. Polisi “pecah dan perintah” pihak British secara jelasnya menggunakan perbezaan etnik Dravidia sehinggalah ke Indo Aryan dan bangsa-bangsa lain seperti orang-orang Himalaya dari Nepal bagi memenuhi sasaran mereka untuk membangunkan negeri-negeri Melayu untuk kepentingan ekonomi dan mereka anggap ia merupakan satu usaha yang pragmatik.
Bangsa India memang amat terkenal sebagai kaum yang tidak bersatu padu dan bersifat perkauman dalam kalangan mereka dalam segala-galanya – bahasa, dialek, kasta, agama sehinggalah kepada kampung asal mereka. Oleh yang demikian mengkhususkan pekerjaan yang berbeza-beza kepada jenis-jenis etnik India yang berlainan di Tanah Melayu semasa zaman British sangat berkesan untuk para pentadbir British ini, seperti yang ditunjukkan di dalam jadual di atas. Seorang pengembara berbangsa British yang telah mengembara di seluruh benua kecil India mengatakan dalam memoirnya yang dia belum pernah bertemu dengan seorang pun “orang India” dalam semua pengembaraannya. Ini disebabkan setiap orang India akan sentiasa menganggap diri mereka adalah orang Pattan, Gujerati, Bengali, Tamil, Telegu dan banyak lagi etnik lain daripada beratus-ratus etnik yang ada di India. Seorang pelawak kontemporari dari Kanada, Russel Peters, dalam salah satu pertunjukkan komedi beliau, mengatakan bahawa kebanyakan kaum lain berperang dengan kaum yang lain, orang-orang India pula berperang sesama sendiri.

Latarbelakang Ibu Bapa

Keluarga bapa berasal dari Athangkarai, sebuah perkampungan kecil di Tirunelveli. Athangkarai secara harfiah bermaksud ‘tebing sungai’. Kampung kecil ini terletak di tebing Sungai Tamiraparani yang merupakan satu simbol penting untuk kebudayaan Tamil. Ia merupakan sungai utama daerah Tirunelvelli dan mengalir dari Gat Barat yang juga dikenali sebagai Pergunungan Sahyadri yang merupakan sebuah banjaran gunung di bahagian barat semenanjung India dan mengalir melalui beberapa buah negeri sebelum menuju ke Laut India berhampiran bahagian paling selatan di India. Dalam kesusasteraan awal Tamil dan Sanskrit ia dikenali sebagai Porunai Nathi.

Saya tidak tahu nama sebenar datuk dan nenek sebelah bapa kerana tiada siapa pun yang menyimpan maklumat ini. Apa yang saya tahu mereka beragama Kristian kerana saya pernah melawat kubur mereka di Athangkarai semasa melawat India bersama-sama ibu dan bapa pada Disember 1955. Saya juga dapat bertemu dengan dua orang abang kepada bapa. Ketika itu saya berusia 11 tahun. Abang yang tua bernama Anamuthu Naadar tetapi digelar sebagai Mookan Nadaar disebabkan perwatakannya yang kemas terutama sekali hidungnya yang mancung persis orang Eropah - “mooku” bermaksud “hidung” dalam bahasa Tamil. Beliau telah tinggal di Athangkarai sepanjang hidupnya. Beliau memiliki nama Kristian, tetap saya sudah lupa. Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Nadaar Anglikan untuk memiliki nama-nama yang ada dalam kitab Injil seperti Joshua, Paul, Peter, John, Joseph, Esau, Jacob, Samuel, Rachel, Mary, Esther, Rebecca dan banyak lagi. Bapa saudara saya itu mempunyai kulit yang cerah tidak seperti orang-orang India Selatan yang lain dengan rambutnyta yang putih disanggul kemas ( kudumi) lengkap dengan anting-anting yang mungkin menjadi satu fesyen semasa zamannya. Bibirnya kemerah-merahan semulajadi tetapi juga disebabkan oleh tabiatnya lamanya yang suka mengunyah daun sirih. Pada ketika itu umurnya mungkin hampir mencecah kepada tujuh puluh tahun. Walaupun begitu, dia masih kelihatan segak dan kehadirannya amat dirasai. Seorang lagi dalam keluarga saya yang mempunyai kulit cerah dan wajah yang serupa adalah bapa saudara sebelah ibu bernama C.B. Vincent yang panggilan manjanya Chellah Mama.

Seorang lagi abang kepada bapa telah berpindah ke sebuah perkampungan lain yang bernama Thonithurai tidak berapa jauh dari kampung asal mereka. Perpindahan ini berlaku mungkin disebabkan perkahwinannya. Saya tidak ingat nama bapa saudara sebelah bapa saya ini memandangkan kami merujuknya hanya sebagai Thonithurai Periappa (pakcik). Apa yang saya ingat ialah dia berkulit sangat gelap dan mempunyai sebuah keluarga yang besar. Kulit bapa saya, seperti juga kulit saya, berada di antara kedua-dua abangnya di Athangkarai. Secara jujurnya, saya tidak tahu berapa ramai adik beradik bapa saya selain daripada dua orang bapa saudara saya ini.

Ibu bapa saya mengatakan yang Anamuthu Nadaar menjalani cara hidup mewah seorang nattan atau pemilik tanah yang kaya di kampung tersebut persis pemilik-pemilik tanah India yang terkenal (zamindars). Dikatakan beliau berjaya bersaing dengan zamindar-zamindar lain yang sezaman dengannya dalam hampir semua perkara termasuklah disenangi oleh gadis paling cantik dalam kalangan gadis cantik di sana. Semasa perjumpaan kami, saya tidak nampak pun kesan kehidupan mewah itu. Beliau dikatakan telah membelanjakan semua kekayaan keluarga itu, yang diperolehi daripada perladangan Palymra yang membekalkan todi kelapa sawit yang tidak pernah putus dan pelbagai produk sampingan yang lain. Walaupun beliau tidak lagi semewah dahulu, beliau melayan kami dengan baik yang mana kami ditempatkan di sebuah rumah yang baik di Athangkarai selama kami tinggal di sana dan beliau mampu menjamu kami dengan sempurna. Kehidupannya juga agak baik ketika itu.

Saya ingat dengan jelas pertemuan dengan kedua-dua orang anaknya. Anak beliau yang sulung bernama Selvam dan bekerja di sebuah kilang sabun di Madurai, Lingam’s Soap Company. Anak yang kedua ialah anak perempuan bernama Nesmani. Dia sangat cantik dan lima tahun lebih tua daripada saya. Saya akan selalu teringatkan sepupu saya yang cantik dan berkulit cerah ini setiap kali menonton wayang Tamil yang mempunyai jalan cerita kedesaan yang mana watak utama wanitanya yang berkulit cerah dan cantik jelas menenggelamkan pelakon-pelakon lain yang berlakon sebagai teman-temannya. Sepupu ketiga yang saya temui ialah Ratnam anak lelaki pakcik Thonithurai saya. Dia dilahirkan tempang. Saya difahamkan yang dia telah berpindah ke Madras selepas itu dan menjalankan satu perniagaan yang berjaya di sana. Ibu sering berhubung dengan saudara mara kami di India sehinggalah kematian beliau pada tahun 1980. Selepas itu, seperti yang dijangkakan, kami terputus hubungan dengan kebanyakan saudara mara rapat kami di India. Adik perempuan saya Rani dan kakak ipar saya Sarojini masih berhubung dengan beberapa orang saudara di sana, cuma sedihnya, tiada seorang pun daripada sebelah bapa saya.


Berbalik semula ke Athangkarai, saya ingat dengan jelas tentang tempat itu kerana kami menghabiskan kira-kira dua ke tiga minggu di sana pada bulan Januari 1956. Peringkat terakhir perjalanan kami ke Athangkarai dari Palayankottai adalah di dalam sebuah Land Rover dan akhir sekali dengan satu konvoi kecil kereta lembu dari jalan utama. Saya berharap sangat dapat melawat semula Athangkarai dan berenang sekali lagi di dalam air sungai nenek moyang saya yang jernih bak cermin. Saya tidak pasti bagaimana untuk pergi ke Athangkarai sekarang tetapi boleh mencarinya jika saya benar-benar mahu. Mungkin saya patut pergi. Semasa musim kering, sungai tersebut hanyalah sebuah aliran kecil dengan dasar sungai yang berpasir kering yang luas di kedua-dua belah yang mana orang ramai akan menggali telaga-telaga kecil untuk mendapatkan air minuman yang secara semulajadinya telah bertapis. Tetapi semasa musim hujan, aliran itu membuak-buak menjadi sebuah sungai dengan aliran air yang deras sesuai dengan namanya. Air sungai ini melimpah dua kali setahun memandangkan Tirunelvelli dipengaruhi oleh dua musim tengkujuh. Disebabkan latar belakang Athangkarai & Tirunelvelli inilah saya menonton cerita-cerita Tamil terutamanya yang mempunyai jalan cerita kedesaan. Melalui cara ini saya dapat menggambarkan kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang saya.

Jadi, sebenarnya latar belakang bapa saya sangat ringkas. Nenek moyangnya sangat akrab dengan tanah…sama ada mengerjakannya atau menjadi pemilik kepada harta di tanah tersebut. Nampak gayanya, bapa saya satu-satunya yang tidak mengikut tradisi ini. Saya diberitahu yang semasa kecilnya bapa mengagumi kehadiran mana-mana pegawai kolonial British yang segak yang melawat kampungnya dengan menunggang kuda dan mungkin beliau berasa bertambah kagum dengan penghormatan yang sangat tinggi yang diberikan kepada orang Inggeris oleh seluruh orang kampung. Beliau bertekad untuk mempelajari bahasa pertuturan pegawai Inggeris tersebut. Perlu diingat pada ketika itu, Britain berada di kemuncak kuasa global dan kegemilangan sama seperti yang sedang dinikmati oleh Amerika Syarikat pada masa ini.

Disebabkan itu, Samuel, budak yang mudah terpengaruh itu mendesak orang tuanya untuk menghantarnya belajar di sebuah sekolah Inggeris, bukannya sekolah Tamil. Beliau kemudiannya belajar di sebuah sekolah berasrama di Palyamkottai. Beliau tamat persekolahan dengan kelulusan Secondary School Leaving Certificate (SSLC) yang mungkin merupakan kelayakan paling tinggi yang boleh diperolehi pada zaman kolonial India untuk seorang anak tempatan pada awal kurun ke-20. Beliau dilahirkan pada 1899. Beliau juga memenangi Pingat King George yang berprestij (untuk satu acara seperti dekathlon). Ini bermakna beliau merupakan seorang juara olahragawan yang dikenali di Tirunelvelli pada zaman itu. Beliau merupakan pelari pecut dalam cara 100 meter dengan masa 9.8 saat. Semasa masih bersekolah, bapa ada memberitahu saya tentang perkara ini. Pada masa itu, saya ragukan kebenaran cerita tersebut kerana pelari pecut terbaik di Malaysia masih bergelut dengan masa 10.5 saat. Tetapi mendiang abang ipar saya David Koilpillay mengesahkan pencapaian bapa ini beberapa tahun selepas itu kerana dia juga pernah belajar di sekolah yang sama selepas bapa saya meninggalkan alam persekolahan. Menyimpan arkib biasanya tidak dianggap penting oleh kebanyakan orang dan orang India tidak terkecuali di dalam hal ini. Saya agak bertuah dalam aspek ini memandangkan saya masih memiliki gambar-gambar awal keluarga saya daripada sebelah ibu mungkin disebabkan mereka semuanya berpendidkan Inggeris dan lebih ‘ke hadapan’ berbanding orang lain pada ketika itu. Namun saya tidak mempunyai apa-apa gambar daripada sebelah bapa saya memandangkan mereka hanyalah orang kampung biasa.

Ibu saya Lily Kamalabai Vincent, sebaliknya pula, dilahirkan dalam sebuah keluarga Nadaar yang berpendidikan Inggeris pada tahun 1910. Ibu bapa dan kesemua adik beradik beliau mempunyai pendidikan Inggeris dan bertutur dalam bahasa itu di rumah dengan selesa, namun begitu bahasa Tamil ada juga digunakan. Mereka berasal dari Panaiyadipatti yang juga berada dalam daerah Tirunelvelli. Gambar-gambar keluarga yang awal jelas menunjukkan cara dan orientasi British mereka, terutamanya dalam cara pemakaian kaum lelakinya. Seperti biasa, sedikit sangat yang diturunkan kepada kami berkenaan dengan keluarga ibu saya kecuali melalui mulut ke mulut dan juga melalui gambar-gambar.



Datuk sebelah ibu ialah S.J Vincent yang bermula dari bawah sehingga dia bersara sebagai ketua stesen di Keretapi India Selatan. Tidak seperti orang India Selatan yang lain beliau berkulit sangat cerah seperti yang dapat dilihat di dalam gambar keluarga di atas. Beliau mengahwini isteri yang pertama dan mempunyai tiga orang anak daripada perkahwinan ini – dua lelaki (J.G Vincent dan J.JVincent) dan seorang perempuan bernama Naomani. Isteri pertama beliau meninggal dunia semasa anak-anak mereka masih kecil disebabkan penyakit. Beliau kemudiannya mengahwini nenek di sebelah ibu saya, Louisa. Louisa ketika itu menjalankan perniagaan perubatan Ayurvedic yang berjaya. Melalui perkahwinan ini, S.J.Vincent memperoleh tiga orang anak lelaki bernama A.M. Vincent, Jaya Vincent, C.B Vincent dan seorang anak perempuan bernama Lily Kamalabai, ibu saya. Apa yang menarik, adik kepada ibu saya dinamakan Christmas Bells kerana beliau dilahirkan pada Hari Krismas yang kemudian dipendekkan menjadi C.B. Vincent. Abang yang kedua, Jaya Vincent meninggal dunia disebabkan sakit ketika masih remaja.


Ada satu cerita yang menarik mengenai datuk saya. Beliau terkenal dengan sikap panas barannya yang saya rasa ada kena mengena dengan genetik kami sebagai keturunan Nadaar. Saya juga bersikap seperti ini sama seperti dua daripada anak-anak saya, dengan rasa betul dan salah yang terlalu diperbesar-besarkan. Kisahnya, beliau menjadi meradang dan marah terhadap beberapa orang budak lelaki di sekolah anak-anaknya. Beliau mendapat tahu yang anak (atau anak-anak) beliau telah dipukul di dalam satu pergaduhan di sekolah. Anak-anak lelaki Vincent yang nakal ini mungkin telah dibelasah oleh budak-budak lelaki yang lebih besar atau oleh satu geng disebabkan kenakalan mereka yang memang sedia dimaklumi oleh orang ramai. Beliau mengambil tongkat dan bergegas ke sekolah. Bertindak seolah-olah seorang hakim, beliau memukul setiap seorang budak yang terlibat dalam pergaduhan dengan anak (atau anak-anaknya). Akibatnya, beliau didakwa di mahkamah. Beliau hadir di mahkamah lengkap berpakaian seragam keretapinya yang semua putih, kelihatan segak, lengkap dengan topinya sekali. Majistret British yang bersidang melepaskan beliau hanya dengan amaran, secara berjenaka mengatakan beliau tidak sampai hati untuk menjatuhkan hukuman memandangkan datuk saya menyerupai King Geore V dengan pakaian lengkap berwarna putih, pakaian seragam keretapinya, lengkap dengan misai melintang persis orang British. Datuk saya juga berkulit cerah.

Sebagai tambahan, sedikit maklumat mengenai pakcik-pakcik sebelah ibu saya disenaraikan di bawah. Kesemua mereka kecuali seorang berhijrah ke sini dan sangat rapat dengan keluarga saya di Tanah Melayu.


1.J.G. Vincent (Dorai Mama – yang bekerja di Basra, Persia- bujang sehingga berusia 60 tahun, kemudian beliau mengahwini makcik Freda dan mempunyai dua orang anak – sepupu-sepupu saya Toni dan Lizzie yang tinggal di KL. Beliau meninggal semasa berusia 65 tahun di Kuantan pada pertengahan 1950-an.

2.J.S. Vincent (bapa saudara yang merupakan seorang pengurus di Uralikal Estate di India dan bapa kepada kakak ipar saya Sarojini yang mengahwini abang saya Monraj. Beliau tidak pernah meninggalkan India.)

3.A.M. Vincent (Raja Mama – bapa saudara yang paling garang dan terkenal dengan sikap panas baran dan perangai yang tidak dijangka – berkahwin dan berpisah tanpa anak daripada isterinya Grace yang berada di Ceylon. Grace tidak mahu mengikutnya ke Tanah Melayu. Beliau bekerja sebagai kerani awam di Jabatan Perang British di Port Dickson pada tahun 1950-an. Beliau mengambil anak angkat bernama Annie)

4.Jaya Vincent – Beliau merupakan bapa saudara yang meninggal dunia semasa usia remajanya, mungkin disebabkan barah.

5.C.B. Vincent (Chellah Mama) – bapa saudara saya yang berkulit cerah dan paling kacak – bekerja di estet-estet getah sebagai konduktor – juga bapa saudara yang berbakat dalam bidang muzik. Beliau boleh bermain 42 alat muzik dan dianugerahkan gelaran professor/doktor kehormat di India semasa usia tuanya. Beliau belajar taktik silap mata dan bermain alat muzik sendiri. Ibu, termasuklah adik beradik saya, sering mengatakan yang saya mengingatkan mereka kepada beliau.


Kedatangan ke Malaya

Bapa menamatkan persekolahan dengan kelulusan Secondary Leaving Certificate (SSLC) dan bekerja sebagai kerani di Basra, Persia (kini Iraq). Bapa saudara sulung saya, J.G Vincent, sudah lama bekerja di sana. Beliau bersikap seperti orang British dan bergaul mesra dengan pegawai-pegawai awam British pada masa itu di Basra, bermain biliard dan tenis dengan mereka dan juga sering menghadiri aktiviti-aktiviti sosial di sana. Di Tanah Melayu pun, orang-orang India yang berpendidikan Inggeris berlagak lebih “British’ daripada orang British sendiri. Tidaklah diketahui sama ada bapa dan bapa saudara saya pernah bertemu di Basra. Ketika bapa pulang untuk cuti pendek, beliau bertemu dengan ibu di Madras semasa melawat datuk dan nenek saya. Menurut ceritanya, nenek saya sangat kagum dengan kesederhanaan dan kealiman pemuda bernama Chelliah ini dan mahu mengahwinkan ibu saya dengannya. Bapa bersetuju dan mereka berkahwin pada tahun 1926. Ibu berusia 16 tahun dan bapa ketika itu berusia 26 tahun. Pakcik saya yang berada di Basra, J.G Vincent tidak diberitahu tentang perkahwinan ibu menyebabkan beliau berasa marah. Beliau berasa kurang senang tentang perkara ini dan mungkin beliau berhak memandangkan beliau anak lelaki sulung di dalam keluarga Vincent.

Bapa menganggur untuk beberapa lama semasa pra zaman Kemelesetan Dunia tetapi beliau tetap bahagia bersama keluarganya di Athangkarai. Ibu tidak biasa dengan kehidupan kampung di sana yang tidak mempunyai kemudahan rumah moden seperti yang biasa dinikmati. Apa-apapun, makanan tetap banyak dan keadaan keluarga Anamuthu Nadaar sangat baik dengan pendapatan keluarga tersebut daripada sumber-sumber pertanian dan mereka tidak sedar akan keadaan ekonomi global pada masa itu. Kakak sulung Mabel Chandra dan abang saya Samuel Monraj dilahirkan sekitar waktu ini iaitu pada 1928 dan 1930. Ibu tidak dapat membiasakan diri dengan kehidupann di Athangkarai dan akhirnya pulang semula untuk tinggal dengan ibu bapanya di Valipuram di mana datuk dan nenek saya tinggal selepas datuk bersara daripada bekerja di stesen keretapi.

Bapa berhijrah ke Tanah Melayu pada masa yang tidak sesuai sekitar 1926. Pada ketika itu keadaan ekonomi di seluruh dunia mengalami kemelesetan. Jangka masa ini dikenali sebagai zaman kemelesetan memandangkan harga getah, sumber utama pendapatan Tanah Melayu pada masa itu, jatuh merudum. Beliau bekerja di Port Swettenham (kini Pelabuhan Klang) untuk sementara waktu kemudian mendapat pekerjaan sebagai seorang kerani di sebuah estet di Kepong. Tidak lama kemudian, ibu mengikutnya ke Tanah Melayu kemudian mengandungkan kakak kedua saya Mary Rani di Tanah Melayu. Ibu kembali ke India dan melahirkan Mary Rani di sana pada tahun 1937. Kemudian, ibu membawa kesemua anaknya ke Tanah Melayu pada tahun yang sama ketika Rani hanya berusia enam bulan menaiki S.S. Rajula yang merupakan kapal stim yang berulang-alik di Teluk Bengal ke Tanah Melayu. Saya pernah menaiki kapal tersebut pada tahun 1956.

Kakak saya Chandra dan abang saya Monraj tinggal bersama-sama datuk dan nenek dan pakcik-pakcik sebelah ibu di India untuk beberapa waktu sejak mereka sampai di Athangkarai. Datuk dan nenek serta dua orang bapa saudara saya – yang sulung bernama J.J Vincent (pakcik yang bekerja di Basra) dan yang paling muda dan kacak Christmas Bells Vincent, juga datang ke Tanah Melayu selepas itu. Pada tahun 1941, seorang lagi bapa saudara bernama A.M. Vincent yang saya panggil Rajah Mama datang untuk melawat sahaja tetapi belaiu tidak boleh pulang kerana berlakunya Perang Pasifik dan Tanah Melayu dijajah oleh Jepun. Sekitar waktu ini, bapa mendapat pekerjaan sebagai Ketua Kerani di Estet Nordanal di Panchor, Muar, Johor.

Satu fakta menarik, peladang-peladang awal British memberikan nama-nama yang menarik untuk ladang-ladang getah (estet) di Tanah Melayu. Kadang kala nama-nama estet tersebut merupakan nama-nama bandar tempatan di situ seperti Estet Bukit Dinding, Estet Pagoh atau Estet Lenga. Kerap kali juga estet-estet tersebut dinamakan mengikut nama-nama tempat asal mereka di United Kingdom. Begitulah kisahnya dengan sebuah estet berdekatan dengan Estet Nordanal yang dinamakan Estet Lanadron (sehingga kini), yang dinamakan bersempena nama sebuah pekan kecil di England. Lanadron apabila dieja terbalik ialah Estet Nordanal. Begitulah kepelikan pada masa itu. Estet Nordanal di mana saya membesar dimiliki oleh Boustead & Co. yang juga memiliki Estet Lanadron yang terletak di seberang sungai.

Tahun-tahun Penjajahan Jepun

Apabila British berundur ke Singapura dan tentera-tentera Jepun mara dari Kota Bahru, tempat mereka berlabuh, pengurus berbangsa British Estet Nordanal telah menyerahkan kesemua kunci dan barang-barang penting kepada bapa sebelum dia melarikan diri ke Singapura. Bapa perlu memegang kunci-kunci tersebut dan menjaga pengurusan estet sehingga dia kembali. Pada ketika itu tiada seorang pun percaya yang orang Jepun akan berada lama di Tanah Melayu selepas mengalahkan British. Orang ramai percaya yang tentera British yang perkasa itu hanya perlu mengumpul kekuatan mereka semula dan mengusir Jepun dari Tanah Melayu. Bapa saya juga mempunyai kepercayaan yang sama.

Namun begitu, tidak semua orang mempunyai pendapat yang sama. Salah seorang daripadanya adalah pemandu berbangsa Melayu kepada pengurus estet tersebut yang meminta kunci kereta Austin yang mahu digunakan sendiri daripada bapa saya. Dia mungkin menganggap yang bapa mengarut apabila beliau enggan memberikan kunci kereta itu kepadanya. Bapa memberitahu lelaki tersebut tentang kepercayaan yang diberikan kepadanya yang tidak akan dikhianati. Pemandu tersebut bersedia untuk menyelesaikan perkara tersebut jika bapa mahu menggunakan kereta itu sendiri. Namun, selepas menyedari perkara sebaliknya, pemandu tersebut terus berdegil sehingga sanggup mengeluarkan sebuah senapang patah untuk menembak bapa namun dia diheret dari situ oleh beberapa orang buruh Tamil atau kuli. Walaubagaimanapun, lelaki itu telah melepaskan tembakan mengenai jari manis tangan sebelah kiri bapa. Pemandu itu dibelasah dan dibawa dari situ oleh buruh-buruh yang sedang marah terutamanya mereka yang berasal daripada satu kasta Tamil yang sangat garang dan sangat tahan lasak yang dipanggil Koravan yang datang bersenjatakan lastik.

Pada masa yang sama, harapan bahawa British akan kembali semakin tipis dan kes kecurian mula berlaku. Orang ramai mula melarikan barang-barang daripada banglo-banglo pengurus British dan stor-stor yang menyimpan beras dan barang-barang lain disimpan telah dipecah masuk. Keadaan kucar-kacir ini berlarutan sehinggalah orang-orang Jepun tiba dan undang-undang dikuatkuasakan serta merta oleh seorang pengurus Jepun di Estet Nordanal. Nama beliau adalah Encik Asohan dan bapa menyerahkan semua kunci kepadanya.

Ada satu lagi cerita menarik mengenai Rajah Mama semasa pendudukan Jepun. Bapa saudara saya yang begitu memuja Inggeris ini mencacah lengannya dengan Union Jack (bendera Britain) dan lambang British. Beliau bekerja sebagai kerani d sebuah estet di Tanjung Malim. Beliau dibuli apabila orang-orang Jepun mengetahui tentang tatu di kedua-dua lengannya. Tatu-tatu tersebut dilihat sebagai kesetiaan yang mengikat (dan membutakan) kepada British. Beliau nyaris mati dibelasah. Campurtangan Chellah Mama yang menyelamatkan beliau. Chellah Mama seorang yang suka berkawan dan mudah mesra dan mempunyai beberapa orang kawan dan orang hubungan dalam kalangan pegawai Jepun dan juga polis.

The Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) (Tentera Anti Jepun Penduduk Tanah Melayu) telah ditubuhkan dan kebanyakannya disertai oleh orang Cina dan kebanyakan mereka berada di ladang/estet getah yang meminggiri hutan-hutan di seluruh Tanah Melayu. Jumlah mereka banyak di hutan-hutan berdekatan Panchor, Bukit Kepong, Pagoh dan Lenga. Orang Jepun dan Cina membenci antara satu sama lain dan berdendam sesama mereka akibat perang-perang yang meletus di antara kedua-dua bangsa ini di Tanah besar China. MPAJA beroperasi dari bukit-bukau dan gunung-ganang untuk mengacau orang-orang Jepun. Mereka menyusup masuk ke dalam estet-estet untuk mencari makanan dan keperluan-keperluan lain tetapi umumnya tidak menganggu orang-orang di situ kecuali sekali sekala apabila ada yang mereka syaki bersekongkol dengan Jepun. Orang-orang ini akan mereka cari dan bunuh. Ada sekali, ibu dan bapa pergi ke Estet Serom dan mereka tidak dapat pulang akibat perintah berkurung yang dikuatkuasakan secara tiba-tiba. Ini menyebabkan saya dan adik beradik yang lain “terkandas” di Estet Nordanal. Anggota-anggota MPAJA yang melawat estet kami meninggalkan sedikit beras dan catuan makanan untuk anak-anak Chelliah apabila mengetahui keadaan kami. Begitulah pengaruh rasa hormat yang diberikan kepada bapa saya yang dikenali sebagai seorang yang mudah, jujur dan berterus-terang. Pengurus berbangsa Jepun itu menghantar bapa untuk menjadi Ketua Kerani di Estet Serom berhampiran Tangkak untuk sementara waktu. Semasa tahun-tahun penuh kebimbangan inilah saya dilahirkan paa 28 Januari 1944 di Estet Serom di Tangkak.

Kemudian bapa kembali semula ke Estet Nordanal. Apabila British kembali mereka dialu-alukan sebagai penyelamat oleh para penduduk yang telah melalui pelbagai penderitaan fizikal, mental dan psikologi selama empat tahun yang boleh dianggap sebagai “masa-masa paling buruk” seperti yang dikatakan oleh Dickens untuk menggambarkan zaman Revolusi Perancis. Dengan pantas keamanan awam dipulihkan kembali oleh Pentadbiran Tentera British atau BMA yang melegakan semua pihak. Orang ramai sangat gembira melihat tentera British dan tentera-tentera ini mencampakkan makanan dalam tin, rokok dan coklat Inggeris daripada trak-trak mereka kepada orang-orang yang miskin ini. British dialu-alukan semula sebagai penyelamat bertamadun untuk orang-orang Tanah Melayu.

British juga memberikan layanan yang adil dan berperikemanusiaan kepada orang Jepun sebagai tawanan perang mereka selaras dengan Persidangan Geneva 1929. Kesopanan dan kemuliaan yang ditunjukkan oleh pegawai-pegawai Kolonial British ini sangat menarik hati orang-orang Tanah Melayu termasuklah ibu bapa saya. Mereka telah menyaksikan bagaimana teruknya Jepun melayan orang-orang awam British, apa lagi tentera-tentera mereka. Pada hari-hari terakhir hidup beliau pada tahun 1980-an, ibu berpendapat yang British telah memberikan “bunga kepada kera” sebagai merujuk kepada kemerdekaan Tanah Melayu. Itulah tanda kasih sayang yang tiada bandingannya kepada British oleh orang-orang Tanah Melayu yang telah melalui masa-masa yang sukar. Ramai yang sudah tiada. Begitulah intipati latarbelakang keluarga saya semasa saya dilahirkan.

No comments: